10 Konstruk Kepimpinan dan 13 Konstruk Kemampuan, teras utama KRS Musleh

0
767

Pengerusi Unit Kokurikulum Ikram-Musleh dan Kadet Remaja Sekolah Musleh (KRSM), Mejar KRSM Tuan Abdul Rahaim bin Mat Isa menyatakan bahawa Kadet Remaja Sekolah Musleh(KRSM) menjadikan 10 peribadi muslim atau 10 muwasofat tarbiah dan pembinaan ciri kepimpinan sebagai teras utama semua aktiviti KRS Musleh. Kedua-dua teras ini digarap melalui 10 Kontruk Kepimpinan dan 13 Konstruk Kemampuan yang menjadi sebahgian daripada modul KRS Musleh. Beliau berucap sedemikian semasa merasmikan Majlis Pembukaan Kadet Remaja Sekolah Musleh bagi tahun 2020 peringkat Sekolah Menengah Al-Hidayah Ipoh, baru-baru ini.

“Ada dua perkara penting yang perlu kita beri perhatian. Pertamanya adalah proses pembentukan sifat-sifat yang mulia dalam diri yang kita kenali sebagai 10 muwasofat tarbiyah. Ianya adalah ciri-ciri yang perlu kita bentuk dalam diri kita. Yang kedua pula, adalah kepimpinan. (Dalam KRSM) Kita bina sifat-sifat penting untuk jadi pemimpin masa depan, dan semua ini kita garap dalam 10 konstruk kepimpinan dan 13 konstruk kemampuan. Semua ini ada di dalam KRS Musleh” katanya.

Katanya lagi, Pegawai dan Ketua Pusat Latihan atau Kem Komandan adalah individu yang berkhidmat dengan KRSM, mereka perlu memberi khidmat kepada mana-mana pusat latihan lain tidak mengira sempadan pagar fizikal yang membahagi sempadan kawasan sekolah. Beliau juga memberi saranan agar semua institusi di bawah Pusat Pendidikan Al-Hidayah (PPAH) iaitu Sekolah Menengah Al-Hidayah(SMAH) dan Sekolah Rendah Al-Hidayah(SRAH) agar berganding bahu dan bekerjasama dalam memartabatkan KRSM agar ianya kembali gemilang seperti yang pernah dicapai satu masa dahulu.

“Kalau guru-guru lama mesti maklum. Kalau sebut saja Al-Hidayah Ipoh, mesti ramai tahu betapa hebatnya Al-Hidayah Ipoh terutama dalam acara Basic Self Defence dan kawad kaki. Kecemerlangan ini perlu diulang semula.” kata beliau dihadapan semua lebih 300 pelajar dan guru-guru yang turut hadir.

Majlis turut diserikan dengan tayangan video dan persembahan Basic Self Defence (BaSeD) yang merupakan salah satu daripada modul yang perlu dilalui oleh setiap anggota dan pegawai KRSM. Abdul Rahaim turut mengucapkan tahniah kepada SRAH dan SMAH kerana menyahut seruan Ikram-Musleh untuk menjadi perintis kepada penubuhan pasukan pancaragam yang telah lama dihasratkan oleh Ikram Musleh.

“Dalam setiap pertemuan saya bersama dengan pengetua dan guru besar, sentiasa saya war-warkan perkara ini supaya sekolah rangkaian mewujud satu pasukan pancaragam atau dipanggil juga brass band. Pasukan ini nanti sama seperti KRS Musleh, akan ditempatkan di bawah kementerian Pendidikan Malaysia. Ini akan mmberikan satu lagi kekuatan dan kelebihan kepada PPAH untuk pergi lagi jauh dalam melonjakkan elemen ke-musleh-an dalam sekolah-sekolah kita. Maka PPAH sudah tentu akan menjadi perintis kepada penubuhan pasukan pancaragam di sekolah-sekolah yang lain” katanya.

Pasukan pancaragam yang ditubuhkan ini nanti dijangka akan membuat persembahan sempena program Perkhemahan Internasional(PRINT) 2020 yang akan disertai oleh 7 ribu peserta seluruh dunia. Program PRINT 2020 berkenaan dijangka berlangsung pada Disember 2020.

Turut hadir ialah, Haji Hashim bin Abdul Karim, Pengerusi Lembaga Pengurusan PPAH; Mejar KRSM Tuan Soleh bin Senafi, Timbalan Pengerusi Unit Kokuriulum Ikram Musleh dan KRS Musleh merangkap Pengarah PPAH; barisan Penolong Kanan dan ahli sekretariat KRS Musleh. Majlis berakhir dengan sesi bergambar kenang-kenangan semua pelajar, guru dan jemputan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here