Assalamualaikum
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat datang kepada murid-murid Tahun 1 sesi 2017 dan para ibu bapa sekelian.
Ucapan selamat kembali ke sekolah diucapkan kepada semua murid Tahun 2 – Tahun 6. Moga antum semua akan merasa seronok untuk berada di sekolah dengan tujuan untuk menimba ilmu dan segala bentuk pengetahuan dan kemahiran serta pentarbiyahan.
Mari kita sama-sama mulakan dengan niat yang ikhlas iaitu untuk mencari redha Allah. Sesungguhnya terdapat banyak kelebihan untuk orang-orang yang menuntut ilmu.
Hadith Rasulullah:
مَْن سَلَكَ طَرِْيقًا َيلْتَمِسُ فِيْهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللهُ لَهُ طَرِيْقًا ِإلىَ اْلجَنَّةِ (رواه مسلم
Barang siapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga (HR Muslim)
Firman Allah dalam surah Al Mujadalah 11:
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ.
Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.
Oleh itu kuatkan keazaman antum untuk belajar dengan bersungguh-sungguh dan menyediakan diri untuk menerima dan mengamalkan segala ilmu, kemahiran dan juga segala bentuk tarbiyah dan latihan yang diterima. Selalulah berjumpa dan bertanya guru jika ada sebarang perkara yang tidak difahami atau jika terdapat sebarang kemusykilan.
Di masa yang sama, marilah kita berganding bahu untuk membina dan mengekalkan biah yang soleh, persekitaran yang bersih dan jauh dari budaya yang merosakkan akal dan akhlak.
Moga kita sentiasa bersama-sama dalam melakukan kebaikan dan menjauhkan diri dari segala kemungkaran.
Firman Allah dalam surah Al Maidah:2,
ۘ وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya .
Akhir kata saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para ibubapa yang budiman yang memberi kepercayaan dan sokongan serta dokongan kepada pendidikan di Sek Ren Al Hidayah. Moga Allah membantu kita untuk mencapai hasrat kita terhadap pembentukan anak-anak kita agar mereka menjadi insan soleh wa musleh, pewaris perjuangan para anbiya’.
Sekian. Wassalam
Guru Besar,
Muallimah Hajjah Kerisisiah bt Mohd Daud.