Oleh:
Siti Nazihah Yahya
Pengetua
SM Al-Hidayah Ipoh
AL-HADI adalah salah satu dari 99 nama Allah. Siapa di sini bernama Hadi atau Hidayah? 🙋♂️🙋♀️
Kata Hadi atau Hidayah mengandungi makna ‘yang menunjukkan jalan kebaikan dengan cara lemah lembut’. Dari kata ini lahir kata ‘Hadiah’ kerana hadiah diberi dengan lemah lembut.
Allah AL-HADI menunjukkan jalan kebaikan kepada seluruh makhluk seperti yang dijelaskan dalam Surah Taha ayat 49-50.
قَالَ فَمَن رَّبُّكُمَا يَٰمُوسَىٰ
Firaun berkata: “Jika demikian, siapakah Tuhan kamu berdua, hai Musa?”
قَالَ رَبُّنَا ٱلَّذِىٓ أَعْطَىٰ كُلَّ شَىْءٍ خَلْقَهُۥ ثُمَّ هَدَىٰ
Nabi Musa menjawab: “Tuhan kami ialah yang telah memberikan bentuk kejadian kepada segala sesuatu, kemudian memberinya petunjuk”.
Lihat contoh pada ikan Salmon yang ditetaskan di muara sungai Amerika Utara. Selepas setahun di bawah jagaan induk, ikan-ikan ini akan ke pantai-pantai di Eropah hingga perairan Perancis di mana terdapat sumber makanan yang diinginkan. Jaraknya 3200km dan ia tidak sesat!
Siapakah yang memberi petunjuk kepada ikan-ikan Salmon ini kalau bukan AL-HADI?
AL-HADI juga telah menanam dalam fitrah manusia rasa bertuhan serta kemampuan membezakan yang baik dan yang buruk. Boleh semak Al-A’raf (7): 172 dan Asy-Syams (91): 7-8.
Dari ayat-ayat ini kita memahami bahawa AL-HADI menciptakan kita dengan bekalan hidayah agar kita cenderung untuk beriman kepadaNya.
Semoga kita tidak mensia-siakan nikmat hidayah dari AL-HADI ini, amin 😊