Puasa didik diri tepati masa, ingatkan orang susah – Ustaz Soleh

Telah menjadi rutin pelajar Sekolah Menengah Al-Hidayah (SMAH) untuk berpuasa sunat beramai-ramai pada hari Isnin. Rutin ini disusun agar kesemua pelajar dapat melatih diri sehingga puasa sunat hari Isnin dijadikan budaya dan amalan yang berterusan. Pada hari Isnin yang lepas, buat pertama kali bagi sesi persekolahan 2020, kesemua pelajar diminta berpuasa.

Bagi pelajar asrama, rutin ini menuntut mereka iftar secara jamai’e di kantin sebelum sama-sama bersolat Maghrib berjemaah. Seawal jam 7.20 mereka diminta bersiap sedia di kantin dengan makanan masing-masing sementara menanti azan dikumandangkan.

Selepas Maghrib, Pengarah Pusat Pendidikan Al-Hidayah (PPAH), Ustaz Soleh bin Senafi memberi sedikit tazkirah berkaitan puasa bertempat di surau kepada seluruh pelajar asrama. Beliau menyatakan betapa puasa adalah satu amalan yang mampu mendidik diri kita agar menepati masa dan mengingati orang yang lebih susah daripada kita. Beliau yang memulakan tugas di PPAH pada hujung Disember lalu turut menyarankan agar semua pelajar memperbanyakkan doa semasa menanti waktu berbuka.

“Nabi sangat menggalakkan kita berdoa . Masa antum menunggu waktu berbuka, doa. Sebab tu selepas ini ana nak 7.10 semua dah ready dengan makanan. Tiada lagi yang beratur. Tunggu sekejap pun tak apa(sementara menanti azan Maghrib). Makanan yang antum lihat di depan tu adalah rezeki, nikmat daripada Allah. Masa tengok makanan tu, harapnya kita ingat saudara mara kita yang lebih susah. Orang di Palestin contohnya. Orang di Palestin, mereka dah susah, tapi kenapa mereka masih boleh mampu berpuasa? Sebab mereka pun nak ingat bangsa yang lagi susah dari mereka” katanya.

Selain itu, Ustaz Soleh juga memberi saranan agar duit yang sepatutnya di belanjakan pada hari Isnin boleh digunakan untuk di infaq kepada golongan yang memerlukan. Katanya lagi, puasa dapat mendidik diri agar bermujahadah melawan nafsu.

Pelajar asrama SMAH mula mendaftar di asrama pada 1 Januari dan menjalani Program Suai Kenal asrama selama 5 hari sebelum menjalani jadual biasa yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan asrama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *