Assalamualaikum dan selamat datang diucapkan kepada anak- anak Tahun 1 SRAH bagi sesi 2020 dan selamat kembali bagi anak-anak Tahun 2 – 6 serta ibubapa sekelian.
Pertamanya marilah sama-sama kita merafakkan kesyukuran kepada Allah SWT yang telah mengizinkan kita semua untuk memulakan langkah di Tahun Baru 2020. Sebagai menzahirkan kesyukuran kita, marilah kita berniat dan berazam untuk menjadikan seluruh masa dan kehidupan kita untuk melakukan amal kebaikan demi mencari redhaNya.
Saya dan seluruh warga SRAH dan Pusat Pendidikan Al Hidayah mengalu-alukan kehadiran anak-anak dan para ibubapa serta penjaga sekelian. Terima kasih kerana memilih Sek Ren Al Hidayah. Moga kita dapat mewujudkan kerjasama yang padu demi mencapai matlamat dan cita-cita terhadap anak-anak yang kita kasihi.
Dengan membawa konsep Sekolah Rahmah kita berhasrat untuk melaksanakan pendidikan yang lebih bermakna.
1. Pendidikan yang dapat menjelaskan halatuju kehidupan .
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا
Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.
(At Tahrim:6)
2. Pendidikan yang membawa pengislahan.
وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا ۖ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا ۚ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي ۖ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapaknya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: “Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau ridhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri”.
(Al ahqaf:15)
3. Pendidikan yang memberi inspirasi dan harapan.
يَٰبُنَيَّ إِنَّهَآ إِن تَكُ مِثۡقَالَ حَبَّةٖ مِّنۡ خَرۡدَلٖ فَتَكُن فِي صَخۡرَةٍ أَوۡ فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ أَوۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ يَأۡتِ بِهَا ٱللَّهُۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَطِيفٌ خَبِيرٞ
(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.
(Luqman:16)
Maka, menjadi tugas dan tanggungjawab kami untuk “nurture” (asuh, didik, pelihara) segala kebaikan dan potensi yang ada dalam diri anak-anak. Setiap anak akan diberi tumpuan , kasih sayang , didikan dan bimbingan agar mereka benar-benar merasa seronok dan selamat untuk datang dan berada di sekolah. Mudah-mudahan mereka akan memberi fokus dan tumpuan yang terbaik dalam pendidikan dan tarbiyah yang mereka lalui. Moga dengan itu segala ilmu, kemahiran dan tarbiyah diri yang diterima akan dizahirkan dalam amalan dan kehidupan seharian anak-anak.
Akhir kata saya selaku Guru Besar ingin mengucap jutaan terima kasih di atas kepercayaan, sokongan dan dokongan ibubapa sekelian terhadap sekolah. Marilah kita berganding bahu dalam menjalankan amanah terhadap anak-anak kita dan sama-sama berterusan berdoa agar Allah membantu kita dalam melahirkan generasi qudwah hasanah.
Wassalamu’alaikum.
Puan Hajjah Kerisisiah bt Mohd Daud
Guru Besar
Sek Ren Al-Hidayah
Ipoh Perak