Majlis Ihtifal Ilmi Sek Men Al-Hidayah bagi tahun 2018 berjalan dan berakhir dengan jayanya. Program yang melibatkan semua guru dan kakitangan ini turut menyediakan ruang dan medan kepada pelajar mengasah bakat sukarelawan dalam diri mereka.
Ihtifal Ilmi 2018 kali ini mencatatkan bilangan sukarelawan seramai hampir 50 orang dari kalangan pelajar. Kesemua sukarelawan ini bertugas dalam unit masing-masing antaranya Unit Multimedia, Unit Protokol, Unit Siaraya, Unit Hadiah, Unit Persiapan Pentas dan lain-lain.
Sikap sukarela dan suka membantu antara salah satu sikap penting dalam mengukur kemenjadian pelajar soleh dan musleh. Tiadalah erti sekiranya mendapat keputusan yang cemerlang tapi kurang dari segi elemen suka membantu dan mencari-cari peluang membuat kebaikan.
Mualimah Anis, yang berperanan selaku Ketua Unit Fotografi menyatakan, “Segala urusan merakam dan mengambil foto sepanjang program berjalan menjadi sangat mudah atas sokongan dan bantuan beberapa orang pelajar yang dilantik menjadi jurugambar”, katanya sejurus selepas majlis berakhir.
Ketua Unit Persiapan Dewan iaitu Mualim Umair juga turut merakamkan pujian kepada pelajar yang membantu melancarkan urusan penyusunan kerusi dan meja di dalam dewan sebelum dan selepas program. “Pelajar kita dengan penuh dedikasi menyusun atur kerusi semasa persiapan dewan. Tidak berakhir di situ, mereka juga pantas menyusun semula semua kerusi meja di belakang dewan setelah tamatnya majlis”, katanya.
Majlis Ihtifal Ilmi 2018 yang berlangsung pada 14 April 2018 bertempat di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi ini dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Perak iaitu Tuan Hj Kamarul Bahrin bin Mohd Radzi.