2019: SRAH bawa konsep Sekolah Rahmah

Assalamualaikum dan selamat datang diucapkan kepada anak- anak Tahun 1 SRAH bagi sesi 2019 dan selamat kembali bagi anak-anak Tahun 2 – 6 serta ibubapa sekelian.

Pertamanya marilah sama-sama kita merafakkan kesyukuran kepada Allah SWT yang telah mengizinkan kita semua untuk memulakan langkah di Tahun Baru 2019. Sebagai menzahirkan kesyukuran kita, marilah kita berniat dan berazam untuk menjadikan seluruh masa dan kehidupan kita untuk mencari redhaNya. Dengan kita sentiasa ingat akan tujuan kejadian kita, seperti firman Allah:

وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku. (Adh-Dhariyat 51:56)

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّى جَاعِلٌ فِى ٱلْأَرْضِ خَلِيفَةًۖ

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi.” (Al-Baqarah 2:30)

Saya dan seluruh warga SRAH dan Pusat Pendidikan Al Hidayah mengalu-alukan kehadiran anak-anak dan para ibubapa serta penjaga sekelian. Terima kasih kerana memilih Sek Ren Al Hidayah.

Dengan konsep Sekolah Rahmah, kami para guru dan kakitangan sekolah akan mencuba sedaya upaya kami untuk menyediakan biah yang bertepatan dengan hasrat kita. Agar anak-anak dapat datang ke sekolah dengan penuh riang dan merasa teruja setiap hari untuk memahami ilmu yang diajar dan memantapkan penguasaan melalui fokus yang mantap, kerjasama yang baik dan usaha yang jitu, yang tidak mudah menyerah kalah. Akidah merentasi kurikulum adalah teras pendidikan kita. Unit Kurikulum sekolah juga akan sedaya mungkin memastikan perlaksanaan kaedah pembelajaran Abad 21.

Gunakan dan rebutlah segala peluang yang ada untuk membina kemahiran dan keperibadian diri dalam setiap aspek melalui aktiviti Ko Kurikulum yang pelbagai seperti TKRSM, Syukbah dan Riadhah di Tahap 2 , dengan menggilap segala potensi yang ada.

Kepada ibubapa dan penjaga sekelian, pelaksanaan PKPIM ( Pentaksiran Konstruk Pelajar IKRAM MUSLEH) perlu diberi kerjasama yang padu didalam melaksanakannya agar anak-anak akan dibimbing dan dipantau secara rapat dan konsisten didalam bab solat, ibadah, akhlak, kekeluargaan, kepimpinan dan ketrampilan.

Melalui usaha-usaha bersepadu, unit Kurikulum, HEM ,Tarbiyyah dan Ko Kurikulum, adalah diharapkan agar kita semua akan berjaya untuk menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah dengan menjadikan solat sebagai tunjang kehidupan kita. Tilawatul Quran, solat dhuha, puasa sunat, menghormati ibubapa, guru dan orang lain, serta saling bantu membantu dalam mengerjakan kebaikan dijadikan amalan dalam kehidupan seharian kita.

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya [al-Mâidah/5:2]

Hanya dengan kita saling ingat mengingati dan membantu diantara satu sama lain, kita akan lebih kuat untuk sentiasa mempertingkatkan diri kita untuk menjadi insan soleh wa musleh. Insan yang mampu dan sentiasa berusaha untuk memberi manfaat kepada orang-orang disekeliling dan menzahirkan Islam sebagai rahmat bagi sekalian alam. Firman Allah:

وَمَآ أَرْسَلْنَٰكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَٰلَمِينَ

Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam. (Al-Anbiya 21:107)

Akhir kata saya selaku Guru Besar ingin mengucap jutaan terima kasih di atas kepercayaan, sokongan dan dokongan ibubapa sekelian terhadap sekolah. Marilah kita berganding bahu dalam menjalankan amanah terhadap anak-anak kita dan sama-sama berterusan berdoa agar Allah membantu kita dalam melahirkan generasi qudwah hasanah.

Wassalamu’alaikum.

Guru Besar
Puan Hajjah Kerisisiah bt Mohd Daud

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *